Koleksi Sajak - Berpada-padalah

SAJAK GURU | BERPADA-PADALAH


Koleksi Sajak Guru


Guru
berpada-padalah
kita dilahirkan bukan jadi guru
kita dididik ajar menjadi guru
tak perlulah ghairah jadi hero guru
kita bukan Malaikat.



Guru
berpada-padalah supaya kita tidak jadi mangsa
mereka yang menangguk di air keruh
berpada-padalah
insya-Allah kita selamat.

Guru
berpada-padalah
kita bukan Malaikat
kita manusia biasa
mengajar
menunjuk ajar
pasti kita jumpa pelajar yang kurang ajar
sebab itu kita digelar pengajar
guru atau pendidik ertinya pengajar
kerana sejak azali ada yang kurang ajar.

Guru
bukan pelajar saja kurang ajar
orang biasa juga ada yang kurang ajar
lantas kita sebagai pengajar perlu banyak bersabar
supaya mereka yang kurang ajar itu dapat dididik dan diajar.

Guru
selamat mengajar  dan selamat belajar
sampai masanya tubuh yang kaku pun masih diajar menjawab soalan munkar nakir.

Guru
Munkar nakir bertanya,
Siapa Tuhan kamu?
Allah Taala Tuhanku
Siapa nabi kamu?
Muhammad nabiku
Apa agama kamu?
Islam agamaku
Di mana kiblat kamu?
Baitullah kiblatku
Siapa saudara kamu ?
Semua orang Islam yang beriman saudaraku
Apa kalimah yang kamu bawa bersama?
Aku mengucap "La ila ha illallah Muhammaddur Rasullullah."

Guru
Selamat belajar jadi pengajar.


Yakub Uton
Kota Kinabalu
19 Disember  2017