Asas Kepada Undang-Undang - Terpakai di Malaysia

UNDANG-UNDANG | PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN 


    Undang-undang amat penting dalam kehidupan kita sejak dahulu lagi. Ramai penulis yang memberikan definisi undang-undang yang berbeza-beza. Oleh itu tiada definisi khusus maksud undang-undang. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan undang-undang sebagai ‘sesuatu peraturan atau keseluruhan peraturan yang digubal (dibuat) oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan’. Selain itu DBP juga menyatakan undang-undang adalah ‘peraturan yg digubal untuk sesuatu perbadanan (perkumpulan, persatuan, dll) oleh orang-orang tertentu’. 

         Merujuk kepada kamus undang-undang Oxford, pula perkataan undang-undang membawa maksud ‘suatu kumpulan peraturan-peraturan yang di kuatkuasa dengan tujuan untuk mentadbir sesebuah masyarakat’

          Menurut Yaqin (1996), ‘…kesemua pihak bersetuju jika dikatakan bahawa undang-undang adalah satu set peraturan yang mentadbir tingkah laku dalam masyarakat’

       Manakala John Austin dalam buku The Province of Jurispredence Detemined, mendefinisikan undang-undang adalah ‘suatu kumpulan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah ke atas pihak yang diperintah dan dikuatkuasakan melalui penggunaan sekatan dan hukuman ke atas mereka yang mengingkarinya’

          Menurut John Salmond (Jurispredence) mendefinisikan undang-undang sebagai ‘kumpulan prinsip-prinsip yang diiktiraf dan digunapakai oleh sesebuah negara dalam pentadbiran keadilan atau dengan kata lain undang-undang ialah suatu kumpulan peraturan yang dikuatkuasakan oleh negara ke atas rakyatnya demi menjaga keamanan dan keadilan.

          Rujukan daripada laman Wikipedia: (http://ms.wikipedia.org/wiki/Undang-undang). Undang-undang merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Biasanya ini adalah peraturan sesuatu negara. Jika peraturan-peraturan ini dilanggar, orang yang melanggar peraturan tersebut mungkin dihukum atau didenda oleh mahkamah. Peraturan ini biasanya dibuat oleh pemerintah negara tersebut supaya rakyatnya boleh hidup, bekerja dan bersosial antara satu sama lain. Kadangkala, undang-undang juga dibuat oleh sekumpulan orang yang berfikiran sama.

          Jelas di sini perkataan undang-undang mempunyai makna yang berbagai bergantung kepada siapa atau pihak mana yang mentafsirkannya mengikut perspektif dan kepentingan masing-masing. Undang-undang adalah untuk keadilan, sesuai dengan keadaan, diterima pakai oleh setiap masyarakat. Undang-undang juga perlu ditafsirkan mengikut perspektif dan kepentingan dalam sesebuah masyarakat. Ianya penting bagi mentadbir sesebuah masyarakat. Undang-undang adalah peraturan-peraturan dalam masyarakat yang telah digubal oleh pemerintah untuk kegunaan individu atau kumpulan bagi memastikan setiap individu itu mematuhi undang-undang. Ketidakpatuhan kepada undang-undang yang telah diterima pakai oleh masyarakat akan menyebabkan tindakan berbentuk hukuman akan dilaksanakan. Ini berbeza dengan peraturan yang bersifat norma-norma budaya yang diikuti dan diamalkan dalam masyarakat yang tidak berkuatkuasa sebagai undang-undang, perlanggaran ke atasnya tidak dikenakan denda atau hukuman akan tetapi pelaku-pelaku tersebut mungkin dipandang serong atau mendapat cemuhan dari masyarakat sekeliling.

          Undang-undang boleh diklasifikasikan kepada dua bentuk iaitu undang-undang awam dan undang-undang persendirian. Undang-undang awam berfungsi mengatur perhubungan di antara individu dengan negara manakala undang-undang persendirian yang juga dikenali sebagai undang-undang sivil berfungsi mengatur hubungan di antara individu dengan individu yang lain.

Undang-undang Awam

          Undang-undang awam diwujudkan adalah untuk mentadbir sesebuah negara. Tujuan utama undang-undang awam adalah untuk mentadbir dan mengawal perhubungan dan tingkahlaku individu dengan negara. Undang-undang awam meliputi undang-undang perlembagaan, undang-undang pentadbiran dan undang-undang jenayah.


Undang-undang Persendirian

          Undang-undang persendirian diwujudkan bagi menguatkuasakan perhubungan antara individu dengan individu atau kumpulan lain berkenaan hak masing-masing. Undang-undang ini lebih kepada keadilan terhadap pihak yang teraniaya agar boleh menuntut kerugian atas sebab pelanggaran undang-undang yang telah ditetapkan. Undang-undang persendirian ini terbahagi kepada undang-undang kontrak, undang-undang tort, undang-undang amanah, undang-undang tanah, undang-undang keluarga, undang-undang syarikat dan undang-undang perkongsian.

PERBEZAAN UNDANG-UNDANG AWAM DAN UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN (SIVIL).

     Kedua-dua jenis undang-undang ini adalah berbeza mengikut kepada fungsi dan kegunaan undang-undang tersebut dalam negara. Undang-undang awam melibatkan hubungan kerajaan dengan rakyat. Undang-undang persendirian pula wujud bagi mengawal hak kepentingan antara individu dengan individu, atau individu dengan masyarakat agar tidak dicerobohi. Perkara ini akan dibincangkan secara ringkas bagi undang-undang awam dengan undang-undang persendirian.


UNDANG-UNDANG AWAM

Undang-undang awam terbahagi kepada tiga kategori yang utama iaitu :-

Undang-undang perlembagaan

      Undang-undang perlembagaan adalah badan utama mengenai hubungan kerajaan yang berbeza iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman. Undang-undang ini mentakrifkan struktur kerajaan dan asasi rakyat di bawah pemerintahannya. Undang-undang ini berkaitrapat dengan kuasa parlimen dengan hak-hak rakyat. Tujuan undang-undang perlembagaan bagi memastikan hak-hak yang termaktub dalm perlembagaan adalah dipatuhi dan menentukan kerajaan melakukan sesuatu dasar perlembagaan atau sebaliknya.

Undang-undang pentadbiran

     Undang-undang pentadbiran adalah undang-undang mengawal hubungan individu dengan negara. Ini berhubungkait dengan pentadbiran dan pelaksanaan kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara. Kuasa dan tanggungjawab pihak berkuasa pentadbiran bagi memastikan kuasa-kuasa awam ini membuat tindakan dan keputusan mengikut kehendak undang-undang yang ditetapkan oleh negara. Kuasa awam dilaksanakan selaras dengan undang-undang bertujuan untuk melindungi penglibatan orang awam dalam membuat keputusan. Undang-undang ini penting kerana membolehkan orang awam untuk membuat tuntutan gantirugi bagi kesalahan oleh mana-mana pegawai kerajaan atau piahk berkuasa. Semakan kehakiman juga akan dijalankan bersama bagi menilai dan mempertimbangkan tindakan badan kerajaan sama ada mengikut atau menyalahi undang-undang.

Undang-undang jenayah

     Undang-undang jenayah dibentuk bagi mengawal masyarakat daripada melakukan kesalahan yang meliputi jenayah, pendakwaan dan pembelaan. Undang-undang jenayah ditulis oleh kerajaan bagi mengurus kesalahan jenayah yang menyebabkan kemudarataan orang awam dengan mengambil pendekatan hukuman. Undang-undang jenayah mengambilkira keputusan mahkamah tentang jenayah dan mengawalselia tatacara jenayah apbila peraturan tidak jelas digubal yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan.


UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN

     Dalam undang-undang persendirian pula, undang-undang ini melibatkan perkara yang boleh menjejaskan hak dan kewajipan individu dengan individu yang lain. Tujuan adalah untuk memberi pampasan kepada orang yang mengalami kerugian, membolehkan seseorang menuntut gantirugi terhadap harta daripada orang lain dan bagi menguatkuasakan kewajipan dalam kontrak dan amanah setiap individu.

     Salah satu undang-undang persendirian adalah undang-undang kontrak. Seksyen 2(h), Akta Kontrak 1950, mentafsirkan kontrak sebagai “suatu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang”. Oleh itu kontrak adalah berdasarkan perjanjian. Perjanjian ini perlu sah dari segi undang-undang dan mengikat pihak yang terlibat di sisi undang-undang. Terdapat beberapa elemen penting dalam kontrak iaitu:-

1. Mesti ada tawaran
2. Mesti ada penerimaan
3. Kedua-dua pihak mempunyai niat untuk mewujudkan perhubungan undang-undang
4. Mesti tidak ada kesilapan, salah nyata atau pengaruh tidak wajar
5. Pihak terlibat mempunyai kerelaan bebas
6. Kontrak tersebut mempunyai tujuan yang sah
7. Mesti boleh menjadi pertimbangan

     Selain daripada kontrak, dalam undang-undang persendirian terdapat juga undang-undang berkaitan tort yang berdasarkan undang-undang. Tort adalah salah satu kesalahan sivil. Terdapat tiga elemen dalam tort iaitu tanggungjawab berhati-hati, pelanggaran tanggungjawab berhati-hati dan kerugian. Seseorang perlu mempunyai tanggungjawab untuk berhati-hati. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati agar tindakan tersebut tidak merugikan atau menyebabkan kerosakan kepada orang lain. Undang-undang Tort ini bagi membolehkan pertikaian antara plantif dan defenden untuk dibicarakan. Tujuan adalah untuk mengesan apa-apa kecuaian yang dilakukan oleh sesuatu yang boleh menyebabkan kesan kepada undang-undang. Setiap individu perlu untuk berhati-hati apabila individu tersebut boleh meramal tindakannya boleh menyebabkan kecederaan orang lain. Contohnya kecuaian memandu laju boleh menyebabkan kecederaan kepada orang lain adalah kesan tidak berhati-hati terhadap tindakan memandu laju.

      Perbezaan ketara yang kita dapat lihat di antara undang-undang awam dan undang-undang (sivil) ialah undang-undang awam melibatkan hubungan di antara kerajaan dengan rakyat manakala undang-undang persendirian (sivil) pula melibatkan hubungan di antara rakyat dengan rakyat. Oleh itu, jika kita dapat perhatikan dalam kes-kes mahkamah yang melibatkan undang-undang awam contohnya undang-undang jenayah, perbicaraan yang dijalankan adalah di antara pihak pendakwaraya dari pejabat peguam negara atau pegawai pendakwa daripada pasukan polis yang mewakili kerajaan menjalanakan prosiding jenayah. Manakala dalam undang-undang persendiriaan (sivil) seperti kes-kes yang melibatkan perselisihan di antara dua pihak berkaitan dengan kontrak perjanjian, perbicaraan adalah di antara dua pihak yang bersengketa tersebut dan selalunya diwakili oleh peguam masing-masing. Tindakan undang-undang ini dipanggil sebagai prosiding sivil di mana pihak mendakwa dipanggil sebagai plantif manakala pihak yang didakwa dipanggil sebagai defendan. Manakala dalam kes-kes rayuan pula,, pihak yang membuat rayuan dipanggil appellant dan pihak yang bertentangan dipanggil sebagai responden.

Undang-undang Perlembagaan
    
    Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam Sistem Pemerintahan Kerajaan Malaysia iaitu Badan Perundangan (Legislative), Badan Pemerintah (Executive) dan Badan Kehakiman (Judicial).

          Perkara 4 (1) menyatakan Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-udang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu. Perlembagaan Persekutuan mengandungi 15 Bahagian, 183 Perkara dan 13 Jadual. Bagi setiap perkara terdapat beberapa Fasal yang dijelaskan dengan terperinci sebagai garis panduan perundangan dan kepentingan rakyat.





Susunan Perkara-perkara Dalam Perlembagaan Persekutuan

Bahagian 1
Perkara 1 hingga 4 – Negeri-negeri, Agama dan Undang-undang Bagi Persekutuan
Bahagian 2
Perkara 5 hingga 13 – Kebebasan Asasi
Bahagian 3
Perkara 14 hingga 31 – Kewarganegaraan
Bahagian 4
Perkara 32 hingga 69 – Persekutuan
Bahagian 5
Perkara 70 hingga 72 – Negeri-negeri
Bahagian 6
Perkara 73 hingga 95E – Perhubungan Antara  
Persekutuan Dengan Negeri-negeri
Bahagian 7
Perkara 96 hingga 112D – Peruntukan-peruntukan Kewangan
Bahagian 8
Perkara 113 hingga 120 – Pilihanraya
Bahagian 9
Perkara 121 hingga 131A – Perhakiman
Bahagian 10
Perkara 132 hingga 148 – Perkhidmatan  
Awam
Bahagian 11
Perkara 149 hingga 151 – Kuasa-kuasa Khas Menentang Perbuatan Subversi, Dan Kuasa-kuasa Darurat
Bahagian 12
Bahagian 12B
Perkara 152 hingga 160B – Am Dan Pelbagai Perkara 161 hingga 161 H Perlindungan Tambahan Bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak
Bahagian 13
Perkara 162 hingga 180 – Peruntukan Sementara Dan Peralihan
Bahagian 14
Perkara 181 – Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-raja dsb.
Bahagian 15
Perkara 182 hingga 183 – Prosiding Terhadap Yang Di-Pertuan Agong Dan Raja-Raja


Jadual-Jadual


Jadual Pertama
Sumpah bagi pemohon-pemohon untuk pendaftaran atau masukan
Jadual Kedua
Kewarganegaraan dengan cara kuatkuasa undang-undang bagi orang-  orang yang lahir sebelum, pada atau selepas Hari Malaysia.
Jadual Ketiga
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Kepala Utama Negara.
Jadual Keempat
Sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong
Jadual Kelima
Majlis Raja-raja
Jadual Keenam
Bentuk sumpah dan ikrar
Jadual Ketujuh
Pemilihan dan persaraan ahli-ahli Dewan Negara
Jadual Kelapan
Peruntukan-peruntukan yang akan dimasukkan dalam   
Perlembagaan-perlembagaan Negeri
Jadual Kesembilan
Senarai perundangan
Jadual Kesepuluh
Pemberian dan sumber-sumber hasil yang diserahkan kepada negeri.
Jadual Kesebelas
Peruntukan bagi Ordinan Pentafsiran dan Fasal-fasal Am, 1948 (Ordinan Malayan Union No. 7 tahun 1948) dipakai bagi pentafsiran Perlembagaan.
Jadual Keduabelas
(Dimansuhkan)
Jadual Ketigabelas
Peruntukan-peruntukan berhubung dengan persempadanan bahagian pilihanraya


Perkara 5 (1) menyatakan tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang. Ini bermaksud seseorang tidak boleh dibunuh dan dipenjarakan melainkan menurut undang-undang. Perkara 5 (3) pula menyatakan jika seseorang ditangkap maka ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-sebabnya ia ditangkap dan ia hendaklah dibenarkan berunding dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal undang-undang itu.

Perkara 11 menyatakan Perlembagaan membenarkan kebebasan beragama di mana tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. Setiap orang berhak mengembangkan agamanya namun begitu undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.

Perkara 13 menyatakan tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Perkara 121 menyatakan mahkamah-mahkamah persekutuan tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalan bidang kuasa mahkamah Syariah.

Perkara 150 menyatakan jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar yang sedang berlaku dan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya adalah terancam oleh kerananya, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Pengisytiharan Darurat.

Perkara 152 menyebut bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, Perlembagaan menyatakan kebebasan untuk menggunakan, mengajar atau belajar bahasa lain.

Perkara 153 menyatakan adalah menjadi tanggunggjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Perkara 181 menyatakan pengecualian bagi kedaulatan Raja-raja di mana kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa Raja-raja, Pembesar-pembesar Memerintah Negeri Sembilan dalam wilayah mereka masing-masing.. Tiada apa-apa pembicaraan boleh dibawa dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja bagi sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan dan dilantik oleh Majlis Raja-raja.

Perkara 74 menyebut Parlimen boleh membuat undang-udang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) dan Badan Perundangan Negeri diberi kuasa membuat undang-undang mengenai mana-mana perkara yang disebutkan dalam senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama. Perkara 75 menyatakan sekiranya undang-undang Negeri berlawanan dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah dipakai dan undang-undang Negeri itu hendaklah terbatal setakat mana ianya berlawanan dengan undang-undang Persekutuan itu.

Perkara 160 menyebut tentang tafsiran kandungan ayat yang digunakan di dalam Perlembagaan. Klausa 2 menerangkan “Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan berdomisil (bermastautin) di Malaysia (Persekutuan) atau di Singapura.

Undang-undang Jenayah

    Undang-undang jenayah mengkodifikasikan salah laku oleh individu terhadap negaranya. Ia bertujuan menghukum pesalah dan mengurangkan kadar jenayah menerusi ancaman hukuman yang diberikan, contohnya pencuri dihukum penjara, ini bagi melindungi masyarakat daripada ancaman pesalah laku.

    Undang-undang jenayah merupakan salah satu undang-undang yang utama dan substantif bagi setiap negara. Tujuan utama kewujudan undang-undang ini adalah bagi memastikan kehidupan manusia dapat dinikmati dengan baik. Hukuman yang setimpal dijatuhkan ke atas orang yang melakkan kejahatan dan mengganggu gugat nikmat keharmonian serta ketenteraman orang lain.

    Setiap jenayah mempunyai unsur-unsur jenayah. Hukuman mati boleh dikenakan kepada penjenayah yang terlibat dalam jenayah pembunuhan, pengedaran dadah, pengkhianatan dan melancarkan perang sebagai contoh terhadap Yang di-Pertuan Agong. Ini termasuklah tindakan keganasan di mana mana-mana pengganas dan sesiapa yang membantu pengganas adalah bertanggungjawab untuk menghadapi hukuman mati. Hukuman fizikal juga boleh dikenakan seperti hukuman sebatan atau cambuk. Bukti jenayah memerlukan bukti perbuatan tertentu atau elemen luar sesuatu jenayah iaitu actus reus atau “tindakan bersalah” yang ketika dibuktikan tidak dapat diragui lagi dalam kombinasi dengan mens rea iaitu “fikiran bersalah” yang menghasilkan liabiliti penjenayah dalam asas common law.

Undang-undang jenayah di Malaysia

Sumber utama undang-undang jenayah di Malaysia ialah Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Kanun Tatacara Jenayah (Criminal Procedure Code). Kanun Keseksaan adalah undang-undang utama di mahkamah Malaysia. Kanun Tatacara Jenayah telah diisytiharkan untuk mengawal selia pentadbiran keadilan jenayah atau prosedur di Malaysia. Inter alia Kanun Tatacara Jenayah menyediakan prosedur penangkapan, pencarian, penyiasatan polis dan perbicaraan yang dijalankan di Malaysia.

Terdapat peraturan dan prosedur asas yang perlu dipatuhi dalam menahan saspek berdasarkan hak-hak individu iaitu:

1.    Jika ditangkap, hendaklah diberitahu dengan beberapa segera sebab-sebab ia ditangkap dan untuk dibenarkan berunding dan dibela dengan seorang pengamal undang-undang yang dipilih olehnya. (Perkara 5 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan).

2.    Jika ditangkap dan tidak dilepaskan dalam masa 24 jam, orang itu perlu dihadapkan ke seorang Majistret untuk ditahan lanjut.Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah)

3.    Hak untuk diberitahu samada kesalahan itu boleh dijamin atau tidak boleh dijamin.

4.    Pemeriksaan am terhadap saspek dan premis dijalankan bagi tujuan penyiasatan.

5.    Sebarang prosedur penahanan individu adalah berdasarkan Akta Polis 1967, Kanun Acara Jenayah dan Peraturan Lokap.

Peranan Undang-Undang Awam Dalam Keadilan Di Malaysia

Dua Kajian Penggunaan Asas Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Lalulintas Yang Terpakai di Malaysia

Kesalahan Trafik

     Kesalahan trafik 
adalah kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atau Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334). Di bawah Akta-Akta ini, denda minimum adalah  RM300.00.  Ia boleh mencapai RM10,000.00 mengikut kesalahan yang dilakukan. Di dalam Akta-akta ini kesalahan yang dilakukan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu saman boleh dikompaun, saman tidak boleh dikompaun dan kesalahan yang boleh ditangkap. Contoh kesalahan boleh dikompaun ialah gagal menunjukkan lesen memandu atau insurans apabila diminta oleh polis, warden lalu lintas atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 18(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pembayaran kompaun boleh dibayar sebelum luputnya tarikh yang telah ditetapkan di dalam notis JPJ(P)22Pin.1/94 dan Polis 257 Pin.4/95 yang telah diterima oleh seseorang sewaktu saman dikeluarkan.  Tetapi jika tarikh kompaun telah tamat, seseorang itu perlu dikehendaki hadir ke Mahkamah untuk dibicarakan. Ini bagi membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman bagi kesalahan yang dikesan

    

Kesalahan Meletak Kenderaan

      Salah satu contoh undang-undang awam adalah subsidiary legislation atau undang-undang kecil. Perundangan kecil ini boleh dalam bentuk Peraturan-peraturan (Regulations), Kaedah-kaedah (Rules), Perintah-Perintah (Orders); atau lain-lain bentuk yang seumpamanya. Menurut seksyen 3, Akta Tafsiran 1967, “perundangan kecil” bermaksud sebarang perisytiharan, kaedah, peraturan, perintah, pemberitahuan, undang-undang kecil (by-laws) atau lain-lain instrumen yang dibuat di bawah mana-mana Akta, Enakmen, Ordinan atau lain autoriti yang sah di sisi undang-undang dan mempunyai kesan perundangan.

     Ordinan Kerajaan Tempatan 1967 Undang-Undang Kecil (Peruntukan-Peruntukan Tempat Letak Kereta) Bandaraya Kota Kinabalu, 2003 merupakan contoh undang-undang kecil yang terpakai. Merujuk Perkara 23. Tiada kenderaan bermotor boleh diletak sedemikian dalam mana-mana jalanraya atau tempat letak kereta yang ia membentuk suatu penghalangan kepada laluan bebas lalulintas kenderaan atau pejalan kaki. Contohnya meletakkan kenderaan bermotor di tempat selain dari yang ditetapkan bagi jenis kenderaan itu dan menghalang lalulintas kenderaan seperti pengangkutan awam atau pejalan kaki. Mayor mempunyai berkuasa menyebabkan kenderaan bermotor tersebut tidak bergerak dengan mengunci kenderaan tersebut menggunakan peralatan yang difikirkan wajar. Oleh itu kadar kompaun yang dikenakan adalah tidak melebihi RM150.00 sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Mayor untuk mengalihkan dan kenderaan bermotor tersebut. Sekiranya orang yang didapati salah gagal mematuhi notis kompaun yang dikenakan. Mayor mempunyai kuasa untuk membawa kes tesebut ke mahkamah untuk dibicarakan

     Undang-undang Malaysia dikuatkuasa bagi mengamalkan satu peraturan yang dikuatkuasakan bagi tujuan mentadbir masyarakat. Undang-undang tersebut merupakan peraturan yang mentadbir tingkahlaku masyarakt. Arahan-arahan yang dikeluarkan dikuatkuasakan melalui penggunaan sekatan dan hukuman ke atas individu yang mengingkarinya. 

     Undang-undang terbahagi kepada dua jenis utama iaitu undang-undang awam dan undang-undang persendirian. Undang-undang awam bertujuan untuk mentadbir sesebuah Negara iaitu bagi mengawal hubungan individu dengan Negara. Undang-undang ini menrangkumi undang-undang perlembagaan, pentadbiran dan jenayah. 

     Undang-undang persendirian pula bagi menguatkuasakan hubungan antara individu berkaitan dengan hak masing-masing. Seseorang boleh untuk menuntut kerugian disebabkan pelanggaran undang-undang. Undang-undang ini merangkumi undang-undang kontrak, undang-undang tort, undang-undang amanah, undang-undang tanah, keluarga, syarikat dan perkongsian. 

     Perbezaan ketara undang-undang awam dengan undang-undang persendirian iaitu undang-undang awam melibatkan kes-kes mahkamah di antara pihak pendakwaraya dari peguam atau pihak berkuasa yang mewakili kerajaan. Undang-undang persendirian pula melibatkan perselisihan antara dua pihak berkaitan dengan kontrak perjanjian iaitu setiap individu boleh diwakili oleh peguam masing-masing. Dalam prosiding ini pihak menuntut keadilan adalah plantif dan pihak yang didakwa adalah defendan. 

     Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia terdapat beberapa perkara perlu dipatuhi. Perlembagaan ini bertujuanm untuk pembahagian kuasa kepada badan perundangan (legislative), badan pemerintah (executive) dan badan kehakiman. Dalam udang-undang jenayah, hukuman setimpal akan dijatuhkan kepada orang yang melakukan kesalahan dengan niat menggangu gugat keharmonian dan ketenteraman orang lain. Asasnya terdapat prosedur perlu dipatuhi dalam menahan suspek melalui Perkara 5 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak penahanan seseorang. Kesemua undang-undang ini mempunyai satu tujuan utama iaitu memberi keadilan kepada setiap masyarakat yang mempunyai hak menuntut keadilan. Kita dapat lihat Malaysia mengamalkan sistem pengadilan yang saksama dengan member peluang setiap pertikaian dapat dibicarakan dengan adil dan saksama.



Catat Ulasan

0 Ulasan